Wednesday, April 11, 2007

Biarlah rindu ini berguguran...

Dengan saranan dari Ebriza, akhirnya aku paparkan juga beberapa babak dari novel sulung ku itu!

Dedaun kering yang gugur bertaburan memenuhi halaman rumah sewanya yang agak jauh terpencil di pinggir bandar. Warna dedaun yang coklat kekuningan itu bagai menciptakan satu suasana yang amat mempersonakan. Matanya leka memerhatikan beberapa ekor burung undan yang sedang asyik berlegar-legar di tengah-tengah tasik. Sesekali dia menghirup coklat panas yang memberi sedikit rasa hangat pada tubuhnya. Mafela merah hitam yang melilit di tengkuk jinjang miliknya sedikit terungkai bila dia membongkok untuk mengambil akhbar yang terjatuh dari pegangannya. Sambil menikmati keindahan musim gugur dia mengambil kesempatan untuk berehat panjang setelah seharian mengemas rumah.

Hari ini genap tiga tahun dia menghuni di bumi asing yang satu masa dulu amat di bencinya. Namun rasa benci pudar dari hari ke hari bila hati yang rusuh kian tenang. Dia mula menyintai bumi asing yang dijejakinya tiga tahun dulu, bila jiran-jirannya yang baik hati itu tidak pernah jemu menghulur salam perkenalan. Dan kini setelah puas memujuk hati, dia berjaya untuk menerima persekitarannya seolah-olah dia memang dilahirkan di situ. Hari demi hari, dia makin menyenangi Douglas yang kerap menyakatnya dengan itik-itiknya yang comel. Dia makin kerap berkunjung ke rumah Mrs & Mr. Jones untuk sama-sama menikmati teh dan sedikit kuih muih di waktu petang. Josephine anak perempuan kesayangan Dr. Hick juga sering bertandang kerumahnya untuk menonton filem-filem terbaru yang di belinya. Dan sudah menjadi kewajipan baginya untuk pergi melihat anak-anak kuda bermain di padang luas milik keluarga Xavien. Dia memang sudah betah menyesuaikan dirinya di kawasan yang terkenal dengan cara hidup kampung itu.

Tiga tahun lamanya berkelana, lupakah aku pada bumi kelahiranku? Sudah wujudkah rasa benci pada bumi itu yang dulunya amat ku cintai? Lupakah aku pada orang-orang yang sentiasa menantiku saban hari dan waktu? Hatinya sedikit bergetar. Setiap kali dia terkenang akan bumi kelahirannya, hatinya akan mula resah bagai di amuk badai. Lantaran itu dia lebih suka untuk terus menyimpan segala memori jauh di pinggir hati. Segala kenangan telah dia mampatkan ibarat mampatan nasi himpit yang dimasukkan ke dalam kotak dan di lontar jauh dari ingatannya.

Bukannya dia benci pada bumi tercinta itu, tidak! Dia juga tidak pernah ingin melupakan segala kenangan itu, namun dia terpaksa. Membongkar kembali sejarah silam samalah seperti menghiris pisau tajam ke urat nadi yang selama ini menjana seluruh tubuhnya. Sudah pasti nyawanya akan segera terhenti, sedangkan dia masih ingin terus menikmati hidup yang indah ini. Dia mahu sekali menemui buah hatinya, Nurin.

Cukuplah sekali, dia tak akan ulangi. Memori itu lebih berhak untuk tersimpan rapi. Untuk apa di kenang semua itu kalau akan meracun hati? Apa perlunya mencurah garam ke dalam luka? Dia sekali lagi menghela nafas panjangnya.

Burung undan itu masih lagi berlegar-legar mencari pasangan. Apabila bertemu yang berkenan di hati, maka selamanya mereka akan berdua. Kakinya perlahan-lahan melewati tepi tasik yang membiru itu. Sepasang telinganya menangkap sayup-sayup nyanyian Jimmy yang memang suka menyanyi. Dia tersenyum mendengar lagu kegemarannya dinyanyikan secara ballad. Tanpa di sedari hatinya mula berkata-kata, hati kecil itu mula teraba-raba.

Apa khabar agaknya Nurin di sana? Mungkin dia sedang sibuk berlari terkedek-kedek di sekeliling rumah. Kaki kecilnya itu tentunya telah menjelajah ke segenap ruang di rumahnya yang besar itu. Tapak tangan comel itu mungkin sedang leka menepuk air kolam ikan. Atau mungkin Nurin sedang nyenyak tidur setelah kenyang makan bubur. Dia tahu Nurin amat suka makan bubur yang di masak khas untuknya. Rindunya terhadap Nurin hanya tuhan yang tahu. Saban malam dia akan menatap wajah Nurin yang comel sebelum matanya terlelap. Dan hampir saban hari juga dia mendengar gelak ketawa Nurin yang menjadi nada dering telefon bimbitnya. Sungguh, dia amat rindu pada Nurin! Dia rindu pada Nurin yang tidak pernah di dukungnya, dia amat sayang pada Nurin yang langsung tidak pernah di ciuminya. Dan dia amat cinta pada Nurin yang tidak pernah menatap wajahnya!

Jadi kenalkah Nurin pada aku? Ingatkah Nurin pada aku yang jauh tersisih di bumi asing ini? Lalu apa sebenarnya rindu yang aku simpan untuknya ini? Dan selama mana harus aku simpan rindu yang menggunung ini? Air mata yang sejak tadi bertakung di tubir mata, perlahan-lahan turun mengaliri pipinya yang kian gebu. Berhentilah kau dari membasahi pipiku wahai air mata. Aku sudah tidak mahu menangis lagi. Aku sudah bosan menangisi perlarian ku ini. Biarlah aku gembira disini, tanpa perlu aku lari lagi. Sesungguhnya perlarian ini membuatkan aku penat yang amat sangat. Aku mahu bumi asing ini menjadi saksi yang aku mampu mencari cebis-cebis bahagia sambil aku teguh berdiri.


Perlahan-lahan dia mengapai Jimmy yang masih leka memetik gitar di bawah pohon maple yang rendang. Air matanya telah berhenti dari membasahi pipi. Bibir mulusnya kini mula mengukir senyuman manis buat anak muda itu. Wahai kenangan, tinggalkanlah aku disini agar aku mampu terus berdiri… dia tersenyum lagi.

.....................

Gurauan Iza disambut dingin oleh Zaqrul. Dia lebih suka mendiamkan diri. Dia sendiri sudah lupa pada gadis-gadis yang kononnya berniat murni nak menjalinkan hubungan dengannya. Seribu satu jenis yang sanggup menelefonnya hatta di tengah malam buta! Sikap itu yang membuatkan dia makin memandang rendah terhadap perempuan.

...................


“Berani kau duduk situ ye?”

Muka Zaqrul berkerut. Berani? Mengapa?

“Jiran kau tu angin sikit, but don’t worry dia baik, the best!”

Pulak! Zaqrul bertambah hairan. Kejap angin, kejap the best, mana satu nih?

“Nanti aku kenalkan kau dengan Add! Kau mesti suka!”

Harris nampak bersungguh-sungguh bercerita. Zaqrul tak ambil pusing, yang penting dia mesti melangkah masuk ke universiti idamannya. Itu janjinya pada keluarganya. Angin tak angin, aku pun ada angin aku sendiri, Zaqrul separuh berbisik.

........................

“ Please Mr. Fernandez, don’t get it wrong. Yes, I do slap him but those girls are not supposed to be blame. Blame on me alone.”

Nur Addriana cuba mempertahankan anak buahnya. Dia tidak mahu mereka didenda.

“ Adrianna, let me tell you something, players should obey their Captain. It is all about disciplines. He knows all the trick in the game and you, girls should learn from him not insulting him.” Mr. Fernandez bersuara keras.

Dia benar-benar marah apabila mendengar laporan dari Zaqrul. Pasukan perempuan tidak bersungguh-sungguh ketika latihan, mereka sambil lewa dan tidak mengormati kapten pasukan. Itu komen dari Zaqrul dan dia tidak suka pelajarnya bersikap sambil lewa. Hatinya bertambah marah apabila Zaqrul menceritakan bagaimana Nur Addriana menamparnya semata-mata kerana Zaqrul hendak menunjukkan cara melontar dengan betul. Nur Addriana dihadapannya dilihat seakan mengecil. Walau apa pun yang keluar dari mulut gadis itu, dia tetap mempercayai Zaqrul.

“ I’m sorry sir.”

.....................

Tiba-tiba Zaqrul melopong bagai terlihat hantu. Mukanya pucat lesi memandang teman lelaki Eva. Nafasnya mula turun naik seperti nafas lembu yang ingin disembelih sebentar lagi. Kakinya bagai di paku agar tidak dapat bergerak. Di tubir matanya, air mata mulai bergenang. Tubuhnya kaku menatap wajah lelaki itu. Fizz? Pelanduk dua serupakah? Atau memang benar itu Dia mencubit lengannya. Sakit. Ini bukan mimpi, bisik hatinya. Bunyi bising di sekitarnya bagai lenyap. Nur Addriana dan kak Eva juga turut lenyap dari pandangannya, begitu juga orang ramai yang berpusu-pusu, lenyap. Yang ada cuma dia dan lelaki itu. Lelaki itu turut berekspresi yang sama dengan Zaqrul. Bezanya Fizz lebih kelihatan keliru.

...................

Zaqrul berlalu menuju pejabat pentadbiran untuk mencari Sofiah. Bila memikirkan tentang gadis, Zaqrul sedikit bimbang. Bukan bimbangkan Sofiah di tengah kota besar ini tapi bimbang kerana gadis ini terlalu berani dan masih kebudak-budakkan.

Sofiah yang dulu hanya pandai mengenakan baju kurung dan kebaya kini sudah bertukar cara pemakaiannya. Paling tidak pun dia akan mengenakan skirt labuh yang mengikut potongan tubuhnya, itu saja. Namun kini, Sofiah sudah berani mengenakan pakaian yang tampak seksi di mata lelaki. Dia memandang Sofiah yang sedang tunduk mengisi borang. Matanya menatap sekujur tubuh Sofiah. Hari ini gadis yang dianggapnya seperti adik itu, dengan beraninya menyarung blaus kuning yang jarang dan berskirt dari kain jeans paras lutut. Memang Sofiah cantik tapi …entah, dia tak tahu mengapa terselit rasa bimbang di hatinya. Ada sesuatu tentang diri Sofiah yang sering membuatkan dia rasa tidak selesa.

....................

“Mungkin sudah ada jurang antara kita…”

Suaranya terhenti disitu. Sayu hatinya di tahan agar tidak melarat. Matanya tetap merenung ke laut lepas. Kakinya sengaja digoyang-goyang bagai melepaskan segala kedukaannya.

“Tiada apa yang berubah Ria. Zaq tetap cintakan Ria hingga ke akhirnya.”

“Tapi Sofiah tu siapa pada Zaq? Dah banyak Ria dengar cerita tak sedap tentang Zaq. Selalu keluar malam…tak datang kuliah…terserempak dating dengan Pia…semua tu apa Zaq?”

“Jangan salah sangka Ria. Zaq cuma tolong Pia aje…macam dulu. Antara kami tak ada apa-apa hubungan. Jangan dengar cakap orang Pia.”

“Zaq mengaku ada keluar dengan Pia tapi bukan berdating macam yang Ria dengar. Kebetulan Zaq tolong hantar dia balik dari kelas malam, dia pula belum makan jadi Zaq bawa dia pergi makan. Kuliah kami kebetulan sama masanya…Jangan macam ni sayang! Pandanglah muka Zaq…”

Jauh disudut hatinya, Zaqrul terasa amat bersalah. Dia tidak tahu mengapa dia harus menipu gadis sebaik Nur Addriana. Dia juga tidak tahu dari mana kekuatan yang diperolehi untuk menipu kekasih hatinya.

“Entahlah Zaq. Kita pun makin jarang bertemu. Handphone yang Zaq belikan dulu semakin jarang berdering, Ria pun malas nak bawa ke sana kemari lagi. Ria rasa semakin dipinggirkan!”

Zaqrul menarik nafas panjang. Sememangnya dia mula meminggirkan gadis itu. Bila bertemu Sofiah, dia bagai lupa pada Nur Addriana.

“Zaq minta maaf Ria. Sekarang ni kuliah makin heavy, Zaq banyak habiskan masa di library dengan Ridhuan. I’m sorry for neglecting you honey!”

Zaqrul meraih tangan Nur Addriana agar duduk di sisinya. Dia menarik dagu gadis itu agar menatap mukanya. Sedih hatinya melihat linangan air mata membasahi wajah kesayangannya itu. Hatinya kini benar-benar digigit rasa bersalah.

Mengapa sanggup aku mengenepikan puteri hatiku ini? Zaqrul bertanya sendiri di dalam hati.

................

Melihat Sofiah samalah seperti melihat Zaqrul, dimana dia gagal membuang bayangan yang asyik menghantuinya. Rambut Sofiah yang panjang telah di potong licin hinggakan nampak kulit kepalanya yang putih di balik-balik balutan tebal itu. Bibir mongel Sofiah yang dulunya sentiasa memerah kini kelihatan lebam dan pecah-pecah. Tompok-tompok darah masih kelihatan di sudut kiri dahinya. Rasanya tak mampu lagi dia untuk terus berdiri di sini. Nur Addriana segera berlalu kerana tak mampu terus berhadapan dengan Sofiah dan Zaqrul.

Ya tuhan ku… Apa yang harus aku lakukan? Bisik hati kecilnya.

............

Nur Addriana berdiri di tengah halaman rumahnya yang luas bertemankan sepi malam. Angin malam yang bertiup lembut menambahkan lagi rasa sayu di tangkai hatinya. Dia mendongak memerhatikan bintang-bintang yang bertebaran indah di langit luas, bulan yang samar bagaikan malu menunjukkan dirinya berselindung di balik-balik awan yang kelam. Matanya kemudian singgah ke ruas jarinya yang masih erat dihiasi cincin pertunangannya. Perlahan-lahan cincin bermata berlian itu di tarik keluar, air mata mula merembes lagi.


Nak tahu kesudahannya? jangan lupa dapatkannya di kedai buku...

5 comments:

Anonymous said...

Ria ... mcam ni ler baru best.. nanti tambah ler beberapa lagi sebahagian bab. Yg blh menarik org utk membelinya. Riza pun buat cam tu gak. Hehehe ...

Ria ... kalau nak jadi penulis kena jadi muka tak malu. Kalau malu, org tak kenal. So, rajin2 ler jadi muka tak malu. HEhee

'EBRIZA' - glemer lagi namaku ini di blog org yg baru. Ahaks

Anonymous said...

wah nampaknya ada 2 org novelist kat cini, apa2 pun tahniah kerna korang ni tersangatlah kreatif dalam penulisan

Unknown on April 11, 2007 at 5:03 PM said...

makacih le...

Anonymous said...

Hi, best sungguh membaca novel ni... boleh berkenalan? i really want to get to know u..

Anonymous said...

sms me:

0122990781

 

Dolce di Bel Copyright © 2009 Cookiez is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template